PT Sans | Reset
A A

Sesi Penerangan Tanah Wakaf Masjid Jamek Pulau Mertajam Kepada Ahli Kariah Pulau Mertajam

Pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah dijemput untuk menghadiri sesi penerangan kepada ahli kariah Pulau Mertajam berkaitan dengan tanah wakaf dalam kariah berkenaan bertempat di Dewan Orang Ramai Pulau Mertajam.

MAINPP diwakili oleh Tuan Haji Fakhruddin bin Abdul Rahman Ketua Unit Pentadbiran Tanah MAINPP, En. Shahril bin Shahrom Ketua Unit Pengurusan dan Penyelenggaraan Premis MAINPP serta Tuan Haji Kamal bin Said Ketua Unit Dana Wakaf MAINPP.

Sesi penerangan ini juga dihadiri oleh penghuni-penghuni rumah yang terletak atas lot tanah wakaf Masjid Pulau Mertajam. Dalam sesi ini, pihak MAINPP telah memberikan penjelasan mengenai lot tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebanyak 8 lot yang keseluruhannya berkeluasan 3.7174 ekar.

Semua yang hadir turut mengambil maklum bahawa pihak Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Pulau Mertajam merupakan agen ataupun wakil bagi pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam menguruskan aset-aset wakaf di alam kariah berkenaan.

Kenyataan ini adalah selaras dengan perkara 8. Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Qaryah Dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997 mengenai Fungsi Jawatankuasa Qaryah dan Pegawai Masjid.

Pada sesi penerangan ini juga telah diadakan sesi soal jawab antara anak kariah dengan pihak MAINPP. Antara soalan yang ditanya ialah mengenai urusan jual beli atas tanah wakaf, urusan kemasukan meter air ke premis, isu sebahagian rumah yang termasuk dalam tanah wakaf, isu pembinaan longkang dan penambunan tanah atas tanah wakaf, isu sewa sawah dan sebagainya.

Perkara-perkara yang dibangkitkan ini telah mendapat penjelasan sewajarnya dari pegawai-pegawai yang hadir. Pengerusi Masjid mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MAINPP kerana hadir ke sesi penerangan ini dan berkongsi maklumat dengan jawatankuasa kariah serta penduduk kampung yang terlibat dan mengharapkan agar sesi yang sama dapat diadakan pada masa akan datang.

362038563 664125899072622 5745344610543968380 n 361957851 664125999072612 1621748160310326345 n
361957851 664125999072612 1621748160310326345 n 360122026 664125889072623 3762284175097457114 n